Tajuk

Thursday, April 14, 2011

Pengenalan Kesusasteraan



APA ITU KESUSASTERAAN?

Persoalan ini bukanlah satu perkara mudah untuk dibicarakan tanpa bersandarkan kepada mana-mana tulisan sarjana. Ramai sarjana telah memberikan pendapat yang tidak kurang pentingnya kepada pengkaji dan pelajar kesusasteraan. Jika kita berpegang kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Ali Ahmad "satu perkara asas bagi ilmu kesusasteraan" tentulah apapun yang ingin dikaji, dinilai dan dianalisis dalam bidang kesusasteraan memerlukan pemahaman yang mendalam terhadap maksud kesusasteraan itu dahulu. Faham makna kesusasteraan bererti menguasai asas kepada pengkajian kesusasteraan.


Hashim Awang (1987) mengatakan kesusasteraan itu adalah "Ciptan seni yang disampaikan melalui bahasa. Ia mungkin dituturkan iaitu disebut sastera lisan dan yang ditulis disebut sastera tulisan. Di samping itu, sastera pula memiliki keindahan dalam aspek-aspek isi atau daya pengucapannya.


Ali Ahmad (1994) menyusur lebih jauh ke dalam makna kesusasteraan dengan mengupas asal-usul kata sastera. Menurutnya "sastera berasal daripada bahasa Sanskrita castra, yang disebut syastra, yang bererti kitab suci. Susastera memberi erti seni sastera atau seni bahasa, dan secara umumnya dimaksudkan persuratan. Tambahan ke di awal dan an di akhir kata susastera menyimpulkan maksud yang terdekat, iaitu kesenian persuratan yang bersifat halus dan indah.
Seterusnya Hashim Awang et. al menghuraikan lagi maksud kata kesusasteraan dan menemui puncanya adalah daripada kata susastera. Kata susastera itu dipecahkan kepada dua bahagian iaitu su dan sastera.



Su dikatakan membawa maksud indah, baik, lebih berfaedah.
Sastera pula membawa maksud huruf atau buku.
Ke-susastera-an membawa maksud kumpulan buku-buku yang indah bahasanya dan baik isinya.


Bagi Muhammad Hj Salleh (1995) kesusasteraan merujuk pada karya-karya lisan serta juga tulisan yang membawa unsur-unsur cereka dan disampaikan melalui bahasa dan berbagai-bagai perkataan.


Sebelum itu, pada zaman sebelum merdeka, seorang pendita Bahasa Melayu yang dikenali sebagai Za'ba mendefinisikan kesusasteraan itu sebagai persuratan atau karangan.


Pengertian seperti ini tentulah tidak mencakupi makna sebenar kesusasteraan yang ada pada masa kini. Ali Ahmad (1994) mengatakan Secara kasarnya sahaja definisi sedemikian dapat diterima, tetapi pemerhatian yang lebih tepat masih diperlukan.
Ali Ahmad (1994) telah membuka ruang yang luas dan segar dalam mencari maksud kesusasteraan melalui tulisannya Definisi Kesusasteraan di dalam buku Pengantar Pengajian Kesusasteraan (DBP). Perkara utama yang dikaitkan dengan kesusasteraan ialah kehalusan atau estetika dan bahasa. Sesungguhnya kesusasteraan itu adalah kehalusan penciptanya dan keinginan pembacanya mencari kehalusan itu. Kesusasteraan juga adalah keindahan bahasa yang muncul dari proses penciptaannya. Menurut Ali Ahmad keindahan penggunaan bahasalah yang menjadi asas bagi wujudnya hasil kesusasteraan.


Ciri Kesusasteraan

Kesusasteraan Melayu Tradisional mempunyai ciri-ciri tersendiri yang terdiri daripada lima aspek yang diperturunkan di bawah ini:


Lisan
Ciri utama kesusasteraan Melayu tradisional adalah Lisan. Lisan dalam bahasa Arab maknanya lidah atau kata-kata. Oleh itu dapatlah dikatakan bahawa kesusasteraan Melayu tradisional itu disampaikan secara lisan ataupun mediumnya adalah kata-kata ataupun pertuturan. Pada zaman tradisional pastilah wujud manusia-manusia yang berbakat besar dalam bidang kesusasteraan, yang mampu menghasilkan karya-karya prosa ataupun puisi. Pastilah juga dalam zaman tradisional yang bermula dengan animisme itu, tidak ada buku, pen, kertas dan sebagainya yang digunakan oleh sasterawan moden hari ini untuk menzahirkan karya mereka. Maka hanya cara tradisional sahajalah yang digunakan oleh 'sasterawan-sasterawan' zaman itu iaitu mengungkapkan karya mereka dengan cara percakapan atau penceritaan. Para sasterawan zaman tradisional, oleh kerana tidak mempunyai alat tulis menurunkan pula karya-karya mereka kepada anak cucu, saudara dan sahabat handai secara lisan agar ciptaan mereka itu tidak hilang begitu sahaja.
Tulisan 
Apabila masyarakat Melayu mula menerima pengaruh Islam, mereka telah menerima juga bersama-sama sistem tulisan. Maka berlakulah satu perubahan besar dalam penghasilan karya kesusasteraan iaitu peralihan daripada lisan kepada tulisan. Satu perkara yang harus difahami dengan mendalam ialah kebolehan menulis lebih berpihak kepada golongan bangsawan yang berdekatan dengan pihak istana. Sedangkan golongan rakyat biasa masih kekal dengan kaedah lisan. Dengan itu lahirlah karya-karya kesusasteraan yang berpusatkan istana. Karya-karya kesusasteraan ini ditulis menggunakan tulisan jawi dan penciptaannya lebih kepada untuk memenuhi kehendak golongan istana.


Kreatif
Pada dasarnya karya kesusasteraan kreatif itu bermaksud karya-karya prosa dan puisi naratif dan non naratif. Oleh itu novel, cerpen, sajak, drama, prosa tradisional dan puisi tradisional merupakan kesusasteraan kreatif.


Bukan kreatif
Karya kesusasteraan bukan kreatif adalah karya-karya seperti esei, rencana dan sebagainya


Estetik
Estetik merujuk kepada keindahan hasil-hasil kesusasteraan yang dicipta oleh seseorang penulis.

Jenis Kesusasteraan Melayu Tradisional

Kesusasteraan Melayu Tradisional dapat dikelompokkan kepada dua kelompok utama iaitu:
1. Prosa Melayu Tradisional
2. Puisi Melayu Tradisional

Prosa Melayu Tradisional
Prosa boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk karangan yang panjang. Prosa tidak terbatas kepada cerita (naratif) sahaja tetapi termasuk juga karya-karya yang bukan cerita (bukan naratif/non-naratif). Oleh itu, karya-karya kesusasteraan Melayu yang panjang sama ada lisan atau tulisan
dikelompokkan sebagai prosa. Syarat utama ia boleh dikatakan sebagai kesusasteraan Melayu ialah penggunaan bahasa Melayu sebagai alat penyampaian dalam karya-karya tersebut merangkumi seluruh nusantara.
Prosa Melayu tradisional berbentuk lisan dikenali juga sebagai sastera rakyat. Prosa tradisional dalam kesusasteraan Melayu boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu :
1. Naratif
2. Bukan naratif
Prosa tradisional berbentuk naratif itu boleh dibahagikan pula kepada dua pecahan lagi iaitu naratif lisan dan naratif tulisan. Naratif lisan pula boleh dipecahkan lagi kepada tiga genre yang utama iaitu:
1. Mitos
2. Legenda
3. Cerita rakyat
* Cerita rakyat terangkum di dalamnya beberapa jenis cerita lagi seperti cerita binatang, cerita jenaka, cerita Lipur Lara dan cerita teladan.

Sementara itu naratif tulisan terbahagi kepada lima genre iaitu:
1. Sastera sejarah
2. Sastera hikayat
3. Sastera sastera panji
4. Sastera kepahlawanan / epik
5. Sastera agama

Prosa tradisional bukan naratif terdiri daripada empat genre iaitu :
1. Sastera undang-undang
2. Sastera kitab
3. Sastera ketatanegaraan
4. Kepustakaan ilmu tradisional
*Nota : penjelasan setiap genre prosa tradisional akan dibuat dalam tajuk penghayatan prosa tradisional.

Puisi Melayu Tradisional 

Puisi merupakan kata pinjaman dari bahasa Indonesia yang digunakan secara meluas di Malaysia. Puisi adalah satu bentuk karangan berangkap yang terikat dengan peraturan sesuatu jenis puisi itu. Bahasa puisi adalah terhad dan padat tetapi makna yang cuba disampaikan adalah mendalam. Puisi mengungkapkan sesuatu yang abstrak kepada yang nyata.

Puisi Melayu tradisional juga boleh dibahagikan kepada dua pecahan iaitu:
1. Naratif
2. Bukan naratif

Puisi Melayu tradisional yang berbentuk naratif terdiri daripada genre Syair sahaja.

Manakala yang bukan naratif ialah :
1. Pantun
2. Gurindam
3. Endoi
4. Rejang
5. Dikir/Zikir
6. Rubai
7. Nazam
8. Masnawi
9. Ghazal
10. Berzanji
11. Qit'ah
12. Seloka
13. Teromba
14. Talibun
15. Peribahasa berangkap
16. Mantera
*Nota : pengertian setiap genre akan diberikan apabila mengkaji genre tersebut.
  
                                                                                                                                     ====>kembali

No comments:

Post a Comment